Thursday, September 13, 2007

TARAWIH : 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT


TARAWIH : 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT

Isu berkenaan dengan bilangan rakaat bagi solat tarawih adalah perkara khilafiyyah yang sering diperdebatkan dikalangan “ustaz-ustaz kampong” dikala kedatangan Ramadhan yang mulia.

Perbincangan berkenaan dengan perkara khilafiyyah ini sudah lama berlaku, tetapi di panaskan perdebatannya dikalangan umat. memelikkan perdebatan sebegini dibesar-besarkan, sedangkan dalam masa yang sama, ramai manusia yang tidak menunaikan solat, yang selalunya menimpa kepada budak-budak muda, bahkan ianya menimpa juga kepada “budak-budak tua”.

Walaubagaimanapun, aku tetap mengambil jalan tengah dalam menyatakan bahawa, bilangan rakaat dalam solat tarawih adalah perkara khilafiyyah dikalangan ulama.

Di sini, aku akan mengemukakan kedua-dua pendapat disertai hujjah dipihak masing-masing. Tujuannya adalah agar semua umat Islam dapat merasakan bahawa perkara khilafiyyah ini bukan bermakna pihak yang tidak berserasi dengan mereka itu tidak mempunyai dalil dan hujjah, bahkan kadangkala hujjah golongan yang menyanggahi mereka itu lebih bertepatan dengan kehendak hujjah dan dalil.

Walaubagaimanapun, aku tidak akan mentarjih salah satu dari kedua-dua pendapat ini disebabkan aku bukan manusia yang berkeahlian dalam mentarjih pendapat ulama-ulama yang hebat ini.

GOLONGAN 20 RAKAAT

Bagi golongan ini, mereka berpendapat bahawa, menunaikan solat tarawih dengan 20 rakaat adalah sunat muakkad. Mereka mendakwa, amalan ini dipelopori oleh Rasulullah SAW sendiri.

Dalil mereka adalah seperti berikut;

Hadis Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمن عمر في رمضان بثلاث وعشرين ركعة

Maksudnya;
“Manusia sentiasa mendirikan (solat tarawih) dalam bulan ramadhan di zaman Omar sebanyak 23 rakaat[1]

Hadis Ibni Abbas;

أن النبي صلّى الله عليه وسلم كان يصلي في شهر رمضان عشرين ركعة

Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa menunaikan solat dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat[2]

Begitujuga dilihat kepada perbuatan Omar yang telah menghimpunkan manusia supaya menunaikan solat tarawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ubai bin Kaab sebanyak 20 rakaat[3].

Dari hadis-hadis yang dinyatakan di atas, didapati bahawa, Baginda SAW beserta sahabat-sahabat menunaikan solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat. Walaubagaimanapun, ulama fiqh ada menyatakan kadar bilangan solat tarawih seperti berikut;

a. kebanyakkan ulama menyatakan, berdasarkan kepada amalan Muhajirin dan Ansar, solat tarawih ditunaikan dengan bilangan 20 rakaat.
b. Di zaman Khalifah Omar Bin Abdul Aziz, solat tarawih di tunaikan dengan bilangan 36 rakaat tanpa disertai solat witir. Pendapat ini diamalkan oleh ahli Madinah qadim[4].

GOLONGAN 8 RAKAAT

Golongan ini mendakwa bahawa, Rasulullah SAW tidak pernah melebihi bilangan rakaat solat tarawih dari 11 rakaat.

Sandaran mereka dalah hadis seperti berikut;

عن أبي سلمة بن عبد الرحمن أنه سأل عائشة رضي الله عنها كيف كانت صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم في رمضان فقالت : ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة

Maksudnya;
“daripada Abi Salamah bin Abd Ar-Rahman, sesungguhnya dia bertanya Aisyah RHa; bagaimanakah solat Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan? Menjawab Aisyah RHa; Rasulullah SAW tidak pernah melebihkan dari 11 rakaat dalam bulan Ramadhan dan yang lain darinya[5]

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam muslim dan Ibnu Abi Syaibah:

كانت صلاته في شهر رمضان وغيره ثلاث عشر ركعة بالليل منها ركعتا الفجر

Maksudnya;
“Solat (nabi SAW) didalam bulan Ramadhan dan lainnya pada waktu malam adalah 13 rakaat. 2 rakaat daripadanya (yakni daripada 13 rakaat) tersebut adalah solat fajar[6]

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya;

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج فلم نزل فيه حتى أصبحنا ثم دخلنا فقلنا يا رسول الله اجتمعنا البارحة في المسجد ورجونا أن تصلي بنا فقال : إني خشيت أن يكتب عليكم

Maksudnya;
“daripada Jabir bin Abdillah RA berkata; Rasulullah SAW solat bersama kami dalam bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan juga melakukan witir. Ketika kedatangan hari selanjutnya, kami berhimpun dalam masjid dan kami berharap agar Baginda SAW keluar (untuk menunaikan solat tarawih). Didapati Nabi SAW tidak keluar hinggalah kami berpagi-pagi berjumpa dengan Nabi SAW lalu kami berkata; Ya Rasulullah SAW, kami berhimpun semalam didalam masjid, dan kami berharap agar kamu solat solat bersama kami. Lalu bersabda Nabi SAW; sesungguhnya aku bimbang (solat tarawihh itu) diwajibkan keatas kamu[7]

Dari beberapa hadis yang dinukilkan, didapati bahawa, perbuatan Rasulullah SAW menunaikan solat ramadhan adalah tidak melebihi dari 11 rakaat. Ianya memberi maksud, 8 rakaat untuk solat tarawih dan 3 rakaat berbaki adalah solat witir.

PENUTUP

Diperhatikan kepada kedua-dua golongan ini didapati bahawa kesemua mereka mempunyai hujjah masing-masing.

Maka dengan demikian, tidak perlu diperdebat panjang dalam isu ini. Barangsiapa yang ingin melakukan 8 rakaat, maka silakan. Dan begitujuga, dipersilakan bagi mereka yang ingin melakukan solat tarawih dengan 20 rakaat.

Apa yang lebih penting untuk diperdebatkan adalah, bagaimana hendak mengajak dan berusaha untuk mengajak mereka yang tidak menunaikan solat tarawih disamping meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT agar mereka menunaikan tuntutan Ilahi ini.

Sekian
Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

email : abu_abdillah_azzam@yahoo.com






[1] Muwatta’ Imam Malik : 1/342 : hadis no : 233.
[2] Musannif Ibni Ibni Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (1).
[3] Musannif Ibni Abi Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (5) hadis ini dinyatakan oleh Syaikh Albani sebagai hadis doif Jiddan yang tidak boleh dijadikan hujjah (lihat kitab “Solat At-tarawih” : 1/22). Menyatakan hadis ini sebagai doif jiddan juga adalah Imam As-Sayuti didalam kitabnya “Al-Hawi li Al-Fatawa dengan alasan, dalam hadis ini terdapat Abu Syaibah Ibrahim bin Osman yang dilihat oleh Al-Hafiz sebagai “متروك الحديث” lihat Al-Hawi lil Al-Fatawa : 2/73”.
[4] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 2/251.
[5] Muwatta’ Imam Malik : 1/355 : hadis no : 243.
[6] Sunan Al-Kubra lil Baihaqi : 3/7
[7] Al-Mu’jam As-Saghir Li At-Tabarani : 2/127 : hadis no : 526.

1 comment:

wheriz said...

minta kebenaran utk paste topic ni ke dalam blog saya

http://wheriz.blogspot.com/

tq