Tuesday, September 04, 2007

JAWAPAN MAULANA ASRI YUSUF YANG DIRAGUI

JAWAPAN MAULANA ASRI YUSUF YANG DIRAGUI

Hampir 3 minggu aku tidak menulis. Kesebukkan disamping malas menyentuh keybord laptop yang menyebabkan aku tidak menulis. Walaubagaimanapun, sesampai sahaja dirumah setelah pulang dari kampong di Jerteh, Terengganu, aku sempat melayari internet dan menelaah isu-isu yang dapat menjadi bekalan berfikir.

Laman Web “youtube.com” telah menjadi antara laman web kegemaran. Disana, aku dapat mendengar berbagai-bagai ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah, terutama ceramah yang di sampai oleh ustaz Azhar Idrus yang merupakan seorang penceramah agama yang namanya sedap top menjulang di negeri terengganu.

Didalam asyik mencari ceramah dalam laman web itu, aku terpaku dengan tiga siri kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz di Kedah yang aku amat mengenalinya, iaitu Ustaz Aminuddin bin Abdul Rahim.

Pada jangka asalnya, aku menyangka ianya sekadar isi kuliah penuh sahaja, rupa-rupanya, ianya adalah nukilan kuliah yang tidak sempurna, disertakan dengan jawapan balas atas ulasan ustaz Aminuddin tersebut. apa yang menjadikan aku terkejut, penjawab itu adalah seorang tokoh yang dikenali ramai, iaitu Maulana Asri Yusuf, yang merupakan seorang guru di sebuah Madrasah di Kubang Kerian yang berkelulusan dalam bidang Hadis beraliran Deobandi di Jamiah Binuri Town, Karachi Pakistan.

Kedua-dua tokoh ini adalah antara tokoh-tokoh yang aku hormati. Aku mengenali Maulana Asri dari murid-murid beliau yang sama-sama denganku ketika belajar hadis di Pakistan dahulu. walaupun kami berlainan Jamiah, iaitu aku di Jamiah Farooqiyyah dan mereka di Jamiah Binuri Town, tetapi aku sering pergi ke sana untuk bertukar-tukar fikiran dengan sahabat-sahabat Malaysia di Jamiah tersebut.

Adapun Ustaz Aminuddin pula, perkenalan antara kami adalah ketika aku sering diajak ustaz Aminuddin dalam menghadiri banyak kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh beliau sekitar Sungai Petani, Kedah, dan kadangkala, dikala beliau kesebukkan, beliau juga sering memintaku untuk menggantikan kuliah beliau, walaupun ketika itu aku masih lagi berumur 19 tahun.

Mengenali mereka dari pandangan dekat menyebabkan aku merasakan betapa kerdilnya ilmuku jika dibandingkan dengan kedua-dua tokoh ini.

Walaubagaimanapun, setelah mendengar ulasan-ulasan ustaz Aminuddin serta jawapan balas dari Maulana Asri, aku agak berpuas hati dengan rujukan ilmiyyah dari Ustaz Aminuddin, tetapi agak meragui jawapan balas dari Maulana Asri. Maka ekoran dari itu, tulisan ini bukanlah bermakna aku menyokong ulasan Ustaz Aminuddin yang berhujjah atas kebenaran melakukan kenduri arwah, disebabkan aku sendiri lebih berpendapat atas kebidaahan amalan tahlil arwah tersebut.

Walaubagaimanapun, tulisan ini sekadar ingin mempertikaikan rujukan yang disampaikan oleh Maulana Asri disamping menyeru manusia agar tidak memperdebatkan isu khilafiyyah ini sehinggakan membawa kepada perpecahan umat, disamping mendakwa pandangan mereka lebih ke syurga dari pandangan orang lain.

KRITIKAN PERTAMA : NABI DIJEMPUT KE KENDURI ARWAH[1]

Berdasarkan hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Aminuddin atas kebenaran makan kenduri arwah adalah disandarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan lainnya;

عن رجل من الأنصار قال خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في جنازة فرأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو على القبر يوصي الحافر أوسع من قبل رجليه أوسع من قبل رأسه فلما رجع استقبله داعي امرأة فجاء وجيء بالطعام فوضع يده ثم وضع القوم فأكلوا فنظر آباؤنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يلوك لقمة في فمه

Maksudnya;
“Daripada seorang lelaki dari Ansar berkata; kami keluar bersama Rasulullah SAW (untuk menziarahi) satu jenazah. Aku melihat Rasulullah SAW memberi wasiat ketika berada di atas perkuburan kepada penggali (penggali kubur) agar memperluaskan bahagian kaki jenazah itu dan memperluaskan dibahagian kepala jenazah itu. Ketika baginda SAW pulang, seorang seorang pemanggil kepada isteri telah menjemput Baginda SAW. lalu baginda SAW datang (menerima jemputan) dan Baginda SAW dihidangkan dengan makanan. Baginda SAW mengambil makanan itu, begitujuga sahabat-sahabat mengambil dan mereka makan beramai-ramai. Ayah kami melihat baginda SAW mengunyah satu suapan dalam mulutnya[2]

Dari hadis ini, Ustaz Aminuddin menyatakan, inilah dalil atas kenduri arwah.

Walaubagaimanapun, hujjah ini di bangkang oleh Maulana Asri dengan beberapa kenyataannya, iaitu beliau menyatakan seperti berikut;

a. Imam Abu Daud menyatakan, hadis ini tidak mahfuz, maka ianya adalah tidak saheh.
b. Maksud dengan “isteri” dalam hadis ini, bukanlah isteri si mati, tetapi isteri kepada orang lain.

Dari ulasan maulana Asri ini terdapat beberapa keraguan, iaitu adalah seperti berikut;

a. Maulana Asri menyatakan hadis ini tidak saheh dengan dakwaan ianya di sebut oleh Imam Abu Daud sebagai tidak mahfuz. Persoalannya, dari kitab manakah yang menyatakan demikian? Ini adalah kerana, dalam Sunan Abi Daud ada menyebut hadis ini, tetapi tidak ada sepatah pun perkataan Abu Daud yang menyatakan hadis ini tidak mahfuz.
b. Merujuk kepada kitab “sahih wa Daif sunan Abi Daud”, As-Syaikh Albani menyatakan hadis ini adalah saheh[3]. Beliau juga menyatakan kesahihan hadis ini dalam kitab beliau yang lain, iaitu kitab “sahih Ahkam Al-Janaiz”
c. Maulana Asri menyatakan, maksud dengan “isteri” bukan isteri si mati, sedangkan Muhammad Syams Al-Haq Al-‘Azim dalam kitab Aun Al-Ma’bud syarah kepada Sunan Abi Daud menukilkan kata-kata Al-Qari yang menyatakan bahawa, maksud isteri dalam hadis ini adalah isteri kepada si mati[4].

KRITIKAN KEDUA : PACAK PELEPAH TAMAR[5]

Ustaz Aminuddin menyatakan, manusia yang berzikir boleh mengurangkan azab si mati didalam kubur. Ini di sandarkan kepada hadis;

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا أَوْ إِلَى أَنْ يَيْبَسَا

Maksudnya;
“Daripada Ibni Abbas berkata, Rasulullah SAW melalui satu kebun dari kebun-kebun di Madinah[6] atau Makkah, lalu baginda SAW mendengar suara dua insane yang diazab kedua-duanya didalam kubur mereka. lalu berkata Rasulullah SAW, mereka berdua sedang di azab, dan mereka tidak di azab dengan sebab dosa besar, kemudian berkata, bahkan adalah salah satu dari kedua-duanya adalah tidak tertutup daripada kencingnya (iaitu tidak istibra’ ketika kencing[7]) dan yang satu lagi sentiasa menjadi “batu api”. Kemudian Rasulullah menyeru dengan satu pelepah tamar, lalu baginda membelahkannya kepada dua belahan, lalu meletakannya atas setiap kubur dengan satu pelepah. Dikatakan kepada Baginda, Ya Rasulullah SAW, kenapa kamu melakukan demikian ini? Bersabda Nabi SAW: mudah-mudahan diringankan azab kepada kedua-duanya selama mana ianya (pelepah) itu tidak kering[8]

Menurut Ustaz Aminuddin, Hadis ini menjadi dalil atas kebenaran membaca al-quran oleh manusia kepada si mati di dalam kubur disebabkan baginda SAW meletakan pelepah tamar yang masih basah ke atas kubur tersebut. jika pelepah tamar sudah boleh merengankan azab disebabkan zikir pelepah tamar, maka lebih-lebih lagilah manusia yang sememangnya lebih mulia berbanding pelepah tamar.

Hujjah ini dibangkang oleh Maulana Asri dengan menyatakan, tindakan Rasulullah SAW itu adalah khusiyyat nabi SAW.

Dari penjelasan maulana Asri ini dinyatakan bahawa, kenyataan Maulana Asri yang menyatakan bahawa, memacakkan pelepah tamar di kubur adalah khusiyyat Nabi SAW sebagai cara membangkang hujjah Ustaz Aminuddin adalah tidak boleh berlaku. Ini adalah kerana, dakwaan yang menyatakan hadis yang menjelaskan tindakan Nabi SAW itu adalah khusiyyat adalah perkara yang dikhilafi oleh ulama. Ianya di akui oleh As-Syaikh Abu Abd Ar-Rahman Abdullah bin Abd Ar-rahman Al-Bassam dalam kitabnya yang bertajuk “Taisir Al-‘Allam syarh ‘Umdah Al-Ahkam[9]

Walaubagaimanapun, menurut Imam Al-Qurtubi, hadis ini menjadi dalil atas keizinan membaca al-quran oleh mu’min terhadap orang yang mati dalam kubur. Perkara ini disyarah panjang oleh Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya yang bertajuk “A-Tazkirah”[10].

PENUTUP

Dari ulasan ini, perlu difahami, perkara yang diperdebatkan ini adalah perkara yang masih berada dalam perbincangan khilafiyyah di kalangan ulama, yang tidak boleh seseorang itu mendakwa bahawa, pandangan ulama ini lebih baik dari pandangan ulama itu.

Jika kita ingin menyatakan demikian juga, maka pastikan diri kita sudah mempersiapkan diri dengan kesempurnaan dengan syarat-syarat mujtahid.

Tulisan ini bukanlah untuk memperlekeh ketokohan yang ada pada Maulana Asri, tetapi ianya sekadar mempertikaikan sesuatu dakwaan yang diragui kewujudannya dan penghujahannya.

Pun begitu, tulisan aku ini bukan bermakna aku mahu menjadi pejuang dan pendokong amalan kenduri dan tahlil arwah ini. Aku secara peribadi pun tidak bersetuju dengan amalan ini, tetapi tetap mengambil sikap untuk menghormati amalan-amalan yang dilakukan oleh ulama-ulama yang lain.

Mudah-mudahan semuanya mendapat keberkatan di sisi Allah.

Sekian

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] http://www.youtube.com/watch?v=dkrwSchf0Ko
[2] Sunan Abi Daud : 3/244. hadis no : 3332.
[3] Sahih wa Daif Sunan Abi Daud : 7/332. hadis no : 3332
[4] Aun Al-Ma’bud : 9/129.
[5]http://www.youtube.com/watch?v=NwWWfZzeU3Y&eurl=http%3A%2F%2Fal%2Dahkam%2Enet%2Fhome%2Fmodules%2Ephp%3Fop%3Dmodload%26name%3DNews%26file%3Darticle%26sid%3D44341
[6] Menurut riwayat, kebun itu kepunyaan seorang perempuan ansar yang bernama “UMMI MUBASYSYIR” : Fath Al-Bari Syarh Al-Bukhari : 1/341.
[7] Fath Al-Bari : 1/341.
[8] Sahih Al-Bukhari : 1/88 : hadis no : 213.
[9] Taisir Al-‘Allam syarh ‘Umdah Al-Ahkam : 1/26-27.
[10] Tafsir Al-Qurtubi : 10/267.

24 comments:

optimus said...

> petikan article dari ZAin-ys ( protaz ke dia nie )mintak bagi ulasan

Jawapan Maulana Asri yang diragui: Wahai ustaz, semak betul-betul
Posted by : zain-ys on Wednesday,

Satu SMS masuh ke telefon bimbit saya yang meminta saya menyemak sebuah artikel bertajuk: "Jawapan Maulana Asri Yusuf yang diragui" di sebuah blog.

Semasa saya membukanya, harapan saya ialah mudahan2 artikel berkenaan memberi saya suatu bangkangan yang bernas terhadap kenyataan Maulana Mohd Asri Yusof. Agar dengannya saya dapat memperolehi pengetahuan baru yang memang sentiasa saya buru.

Namun, amat disayangkan sekali.. Rupanya ia hanyalah sebuah artikel yang penuh dengan kekeliruan dan tidak teliti dalam menganalisa kenyataan Maulana Asri.
Sepatutnya, tidak begitu dalam menanggapi satu kenyataan dari seorang tokoh yang sudah sekian lama bergelumang dalam bidang hadith.
Sepatutnya, bila seorang tokoh yang begini membuat kenyataan kita hendaklah menyemak dengan teliti terlebih dahulu. Ambil masa. Bila tokoh berkenaan menyatakan sesuatu, pasti ada sandarannya yang kukuh.

Sepatutnya, kita yang masih muda belia dalam bidang yang kita tidak ada pengetahuan tentangnya melainkan sedikit, bertanya dan bertanya.

Dalam kes ini, samada beliau yang benar-benar silap atau kita yang masih jahil.

Kita tidak mahu kes mem'bodoh'kan fatwa ulama berulang lagi. Kita menyangka ia adalah ijma' sehingga terkeluar perkataan 'bodoh', sedangkan ia bukanlah ijma'.

Untuk kali ini, kita beri peluang kepada ustaz berkenaan untuk meneliti kembali keraguannya terhadap kenyataan Maulana Asri. Dan diharap beliau dapat melakukan lagi penyelidikan. Kerana penyelidikannya yang pertama memang confirm silap!

Ini bukan kes pertama di mana orang muda begitu gopoh membuat tanggapan terhadap Maulana Asri. Malah beberapa 'tokoh' muda dalam bidang hadith juga sebelum ini agak gopoh dalam menilai Maulana Asri.

Artikel ini samasekali tidak membincangkan apa hukum kenduri arwah. Perbincangan itu kita telah kita tutup. Apa yang kita bicarakan di sini ialah berkaitan dengan hadith-hadith yang berkaitan sahaja.

Berikut ini saya kemukakan petikan berkenaan. Artikel penuh boleh diperolehi di:

Fuad Nordin said...

salam..kalau betul anda kenal utaz asri,maka sudah baik..boleh la anda meminta penjelasan lanjut dari beliau disamping suarakan pendapat saudara..amacam?

pejuang kebenaran said...

KENDURI ARWAH

Majlis kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan hidangan jamuan (makanan) di rumah si Mati. Kebiasaannya diadakan sama ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau kepada si Mati. Malangnya mereka yang mengerjakan perbuatan ini tidak menyedari bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membid’ahkan perbuatan atau amalan yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini.
Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana ketegasan beliau dalam fatwanya:

وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ
“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar (ائمة العلماء الشافعية) yang berpegang kepada mazhab Syafie, dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan bahawa yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:

وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.
“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:

قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)
“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”.
Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram. Telah dinyatakan juga di dalam kitab (اعانة الطالبين) jld. 2. hlm. 146:

وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ
“Imam Syafie berkata lagi: Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Wahai sahabatku ikutilah imam kita imam syafie rahimahullah.Beliau seorang mujtahid, janganlah kita menentang beliau sekiranya tiada hujjah yang membatalkan nash tersebut.Beliau seorang ulamak besar dan dikenali seluruh dunia kerana pegangannya terhadap al quran dan hadisth.Mengapakah kita masih berdolak dalik malah meninggalkan fatwa beliau dalam perkara ini.Semoga perbincangan akan datang lebih menjurus kepada imam syafie kerana kesedian rakyat malaysia yang rata2 berpegang kepada mazhabnya.Malah perbincangan tersebut biarlah berdasarkan buku karangannya dengan ditunjukkan notakakinya agar memudahkan untuk membuat rujukan.Semoga perbincangan ini tidak menjadi bahan ketawa kepada golongan akademik kerana tiada bahan rujukan yang diketengahkan insyaalllah.

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Rujuklah ke dalam kitab I’anatu at-Talibin juz 2. hlm. 146, tercatit: Imam Syafie berfatwa:

ويكره اتخاذ الطعام فى اليوم الأول والثالث وبعد الأسبوع ونقل الطعام الى القبر فى المواسم

“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Menurutnya lagi:

Haram mengadakan kenduri arwah, menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.

Di dalam kitab I’anatu at-Talibin jld. 2. hlm. 146 dan di halaman 147: Imam Syafie berfatwa:

وقال ايضا : ويكره الضيافة من الطعام من أهل الميت لأنه شرع فىاسرور وهي بدعة

“Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Dan fatwanya lagi:

ومن البدع المنكرة المكرو فعلها ما يفعلها الناس من الوحشة والجمع والأربعين بل كل ذلك حرام

“Antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Imam Asy-Syairaziy As-Syafie, beliau berkata: “Dibenci berkumpul (di rumah si Mati) dengan alasan untuk takziyah, kerana itu adalah mengada-adakan yang baru, sedangkan mengada-adakan yang baru itu adalah bid’ah”. (Lihat: Al-Majmu Syarah Muhazzab, hlm. 305-306)

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Berkata Imam Syafie: “Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga si Mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. (Lihat: I’anatu at-Talibin juz 2 hlm. 145)

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Di dalam kitab fikh (حاشية القليوبي) juz. 1 hlm. 353 atau di kitab قليوبى - عميرة) -(حاشيتان juz. 1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramli rahimahullah yang mana beliau berkata:

قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ ذَلِكَ.

“Telah berkata Syeikh kita ar-Ramli: Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika dikerjakan ialah sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah” iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati sama sebelum atau sesudah kematian, termasuklah (bid’ah yang mungkar) penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram terutama jika sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang (belum dilunas) atau seumpamanya”.

Di dalam kitab Al-Fiqh ‘Alal Mazhabil ‘Arb’ah jld.1 hlm. 539 dijelaskan tentang haramnya kenduri arwah: “Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah. Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.

Imam Nawawi, Imam Ibn Kathir, Imam ar-Ramli mereka menukil fatwa Imam as-Syafie: "Dan aku telah memakruhkan (mengharamkan – makruh pada kalam as-Syafie adalah haram) makan, iaitu berkumpul di rumah (si Mati) walaupun bukan untuk tangisan (ratapan)".

Imam Ibn Hajar al-Asqalani: "Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si Mati dan berkumpul beramai-ramai di rumah (si Mati) tersebut maka itu adalah bid'ah bukan sunnah". Dan lagi "Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang dan menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si Mati adalah bid’ah yang dibenci, termasuklah dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si Mati kerana terdapat hadis sahih dari Jarir bin Abdullah berkata: Kami menganggap berkumpul beramai-ramai (berkenduri arwah) di rumah si Mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan". H/R Ahmad 2/204 dan Ibn Majah 1612 dengan sanad yang sahih dari jalan Ismail bin Abi Khalid dari Qais bin Abi Hazim. Lihat: I’anatu at-Talibin juz. 2 hlm. 146.

Dalam hadis di atas ada kalimah “Kami menganggap/memandang”, ini menunjukkan ijmaknya para sahabat, maka ijmak sahabat adalah hujjah qati’ah (pemutus) yang tidak boleh ditolak. Maka bagaimana ustaz tersebut mengatakan amalan kenduri arwah berkumpul di rumah si Mati itu sunnah? Sedangkan nyata ia adalah bid’ah.

Ustaz tersebut mempertahankan amalan berkumpul di rumah si Mati atau dimana sahaja untuk yasinan, tahlilan dan kenduri arwah (dengan niat menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati) kerana beralasan dengan hadis yang mungkar, iaitu hadis: “Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya". Hadis ini batil, palsu dan tidak ada asal usulnya. Dalam sanadnya ada si 'Amar pemalsu hadis, yang mana banyak meriwayatkan hadis batil. Daraqutni berkata: "Amar adalah seorang pemalsu hadis". Lihat: Kitab Al-Maudu’at, Juz 3 hlm. 239. Lihat: I’anatu at-Talibin. Juz 2. Hlm. 146.

Imam Muzani yang sezaman dengan Imam Syafie mengharamkan menghadiahkan pahala bacaan kepada si Mati (sama ada cara yasinan, tahlilan atau kenduri arwah), beliau berkata: "Rasulullah s.a.w telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu: Bahawa dosa tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang lain".

Di jelaskan oleh Ibn Taimiyah: “Bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf as-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada si Mati” Lihat kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu”. Syarah Muhazzab jld. 10 hlm. 417. Imam an-Nawawi juga berkata: “Adapun bacaan al-Quran, yang masyhur dikalangan mazhab Syafie tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada si Mati”. Lihat: Al-Khazin al-Jaml. juz. 4 hlm. 236 dan “Syarah Muslim” juz 1 hlm. 90.

As-Subki ulama besar Syafieyah berfatwa: “Pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si Mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie adalah tidak sampai kepada si Mati. Penjelasan seperti ini telah diulang-ulang (oleh Imam an-Nawawi) dalam kitab syarah Muslim”. Dan lihat: Takmilatul al-Majmu’ – Syarah al-Muhazzab di dalam kitab juz 10 hlm. 426.

Al-Haitami menjelaskan: “Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan tidak boleh dipindah-pindahkan dari si Pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri”. Lihat: al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah (dalam penjelasan perkara ini)

Imam Syaukani (ulama tafsir) berkata: Seseorang tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri. Lafaz dalam ayat ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BERAMAI-RAMAI (BERJEMA’AH) DAN MENGIRIM PAHALA BACAAN

Membaca al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas,Yasin dan beberapa ayat lain secara beramai-ramai bertentangan dengan nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan athar para sahabat. Firman Allah: “Apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. (Al-A’raaf 7:204).

Al-Quran bukan untuk dibacakan kepada si Mati, kerana orang mati tidak mampu mendengar perintah al-Quran, firman Allah: “Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. (An-Naml: 27:80).

“Tdak sama orang yang hidup dan orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur mendengar”

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Al-Quran Untuk Yang Hidup, Bukan Untuk Si Mati

Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati, dihukum bid’ah, haram dan tidak sampai oleh para ulama besar as-Syafieyah. Mereka berdalilkan firman Allah: "Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup”. (Yasin: 36:69-70)

Kerana orang mati hanya bertanggungjawab di atas apa yang telah diamalkan oleh dirinya, kerana Allah berfirman: "Sesungguhnya seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan". (An-Najm: 53:38-39)

Berkata Ibn Kathir rahimahullah yang bermazhab as-Syafie: "Melalui ayat ini, Imam Syafie dan para pengikutnya mengambil hukum bahawa pahala bacaan dan hadiah pahala tidak sampai kepada si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha meraka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya dan mendesak agar melakukan perkara tersebut".

Imam as-Syaukani menjelaskan: "Seseorang tidak mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan, ia tidak memberi manfaat kepada seseorang akan amalan orang lain."

Menurut Ibn Kathir ayat ini bermaksud: "Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain begitu juga ia tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan sendiri".

Ibn Kathir menegaskan: "Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk maka buruklah balasannya". Dan berkata lagi: "Tidak pernah disalin perkara (menghadiahkan bacaan kepada si Mati) walaupun seorang dari kalangan para sahabat radiallahu 'anhum. Jika sekiranya ia suatu yang baik pasti mereka telah mendahului kita melakukannya".

Imam Ibnu Jarir at-Tabari menafsirkan ayat ini: "Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan dari amalnya, melainkan apa yang telah dikerjakannya sendiri, sama ada itu baik atau buruk".

Imam Ibnu Jarir at-Tabari menjelaskan: "Tidak diseksa seseorang itu dengan sesuatu seksaan jika ia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidak diberi ganjaran di atas amal soleh untuk orang yang tidak mengerjakannya ".

Fakhuruddin ar-Razy (Tafsir FakrurRazi) bermazhab Syafie menafsirkan: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak memberi manfaat kepada orang lain yang tidak melakukannya, sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan sebab kebaikan orang lain dan tidak seseorangpun akan menanggung dosanya".

Imam Jalalain (Tafsir Jalalain) bermazhab as-Syafie menegaskan: "Maka seseorang tidak akan mendapat apa-apapun dari usaha orang lain".

Menurut jumhur ulama tafsir, terutamanya Ibn Abbas: “Telah berkata ‘Aisyah ketika mendengar hal tersebut: Cukuplah bagi kamu ayat al-Quran. Bahawa kamu tidak (dipertanggung-jawabkan) untuk memikul dosa orang yang lain". H/R Bukhari dan Muslim.

Ibn Kathir menjelaskan: "Seseorang jiwa hanya dibalas menurut amalannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan jika amalannya jahat maka jahatlah balasannya". Setiap insan hanya menuai apa yang disemainya, firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosa-dosanya) atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambaNya".(Fushilat 41: 46)

"Kamu tidak akan diberi balasan kecuali apa yang telah kamu kerjakan". (as-Saffat 37:39)

"Baginyalah apa yang dia kerjakan dan atasnyalah apa yang dia usahakan". (al-Baqarah: 2:286).

"Sesiapa yang kafir maka dia sendirilah yang menanggung kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh maka untuk diri mereka sendiri". (Ar-Rum: 30:44).

"Sesiapa yang melakukan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan". (Al-Mukmin 40:40).

"Sesiapa beramal secara yang bersesuaian dengan hidayah, sesungguhnya dia telah berbuat untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, kesesatan itu bagi dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain". (al-Isra’ 17:15)

"Sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah membersihkan dirinya sendiri". (Fatheer 35:18)

"Hendaklah kamu takut kepada satu hari yang tidak boleh seseorang melepaskan sesuatu apa pun dari seseorang yang lain". (Al-Baqarah 2: 123)

"Pada hari tidak seorang pun teraniaya sedikit juapun dan tidak dibalas pada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan". (Yasin 36: 54)

"Hai manusia! Hendaklah kamu takut kepada satu hari (di akhirat) yang (di dalamnya) tidak boleh seseorang bapa melepaskan (sesuatu apa pun) dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apa dari ayahnya". (Luqman 31: 33)

"Sesiapa yang bekerja keras (di dunia) maka tidak lain melainkan untuk dirinya sendiri". (al-Ankabut 29:6)

Imam Fakhrurddin ar-Razi (bermazhab as-Syafie) memberi komentar tentang menghadiahkan pahala amalan kepada orang mati: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak boleh memberi manfaat kepada orang yang lain kerana sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak akan mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah sempurna dan jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan kebaikan orang lain dan tidak ada orang lain yang boleh menanggung segala dosanya".

Imam at-Tabari yang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqh as-Syafie menerangkan:

"Bahawasanya tidak akan dibalas seseorang yang beramal melainkan mengikut amalannya, jika baik dibalas baik dan jika buruk akan dibalas buruk". Kerana banyak nas-nas al-Quran yang menjelaskan perkara ini antaranya: "Tiap-tiap jiwa (seseorang) bergantung kepada apa yang telah ia usahakan (semasa hidupnya)". (at-Thuur 52:21)

"Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat melainkan apa yang telah diusahakan". (An-Najm 53:39)

"Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar debu pasti dia akan melihatnya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat debu pasti dia akan melihatnya". (al-Zalzalah 99: 7-8)

"Pada hari seseorang itu akan melihat apa yang telah diusahakan oleh kedua tangannya". (an-Naba’ 78:41)

Tahlilan, yasinan, menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati dan kenduri arwah sama sekali tidak ada dalilnya, tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah dan para sahabat atau para Salaf as-Soleh tidak pernah melakukannya, oleh yang demikian Imam as-Syafie menghukumnya bid’ah berdasarkan hadis: “Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Bantahan Hadis

Ada sebahagian pihak yang berhujjah dengan menggunakan hadis berikut bagi mempertahankan bolehnya mengadakan kenduri Tahlilan/arwah.

“Daripada ‘Asim bin Kulaib daripada seorang lelaki daripada kaum Ansar, dia berkata:

Kami telah keluar bersama Rasullullah s.a.w. pada suatu jenazah, maka aku melihat Rasulullah s.a.w. memesankan kepada penggali kubur, beliau berkata; Lebarkanlah dari bahagian dua kakinya dan bahagian kepalanya. Maka manakala Nabi pulang, datang seorang memanggilnya dari pihak isteri si mati (da’I imra’tihii], maka nabi memperkenankannya dan kami pun bersama-sama beliau lalu di hidangkan makanan. Kemudian Nabi meletakkan tangannya kepada makanan itu dan begitu juga orang banyak lalu mereka makan dan kami melihat Rasullullah s.a.w. mengunyah sesuap dalam mulutnya”. (Abu Daud dan Baihaqi)

Jawab:

Prof.T.M. Hasbi Ash-Siddieqy dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum (6: 258) menegaskan bahawa pengarang kitab Subulus Salam (3: 97) menegaskan hadis tersebut adalah tidak sahih. Beliau juga menyebut (dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6: 258) bahawa dalam kitab Mizanul Iktidal oleh Az-Zahabi disebutkan telah berkata Imam Yahya Al-Qattan: “Saya tidak mendapati seorang yang bernama ‘Asim (salah seorang rawi) melainkan saya mendapatinya seorang yang tidak baik hafalannya”.

Dalam kitab yang sama (Mizatul Iktidal) juga disebutkan Imam Ibn Madiniy berkata bahawa ‘Asim bin Kulaib adalah orang yang kita tidak dapat berhujah dengan dia apabila sesuatu hadis itu dia saja yang meriwayatkannya (Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6: 258-259). Maksudnya, kalau ada satu riwayat dari jalan ‘Asim bin Kulaib itu dan tidak ada riwayat melalui jalan lain, maka riwayat atau hadis itu tidak boleh menjadi alasan. Dengan kata lain hadis yang diriwayatkan dari ‘Asim adalah lemah dan tidak boleh dijadikan alasan sesuatu hukum.

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

Hukum Mendoakan Orang Mati

Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan firman Allah:

"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami". (al-Hasyr 59: 10)

"Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab." (Ibrahim 14: 41)

“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman". (MUHAMMAD 47: 19)

Menetapkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan adalah bid'ah.

Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memperingatkan berkenaan perbuatan yang bid’ah:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan Rasul-Nya) maka amalan itu tertolak". (Hadis Riwayat Muslim)

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

dibolehkan mendoakan dengan doa-doa tertentu kpd si mati. tetapi bab/hukum mengirim pahala, adalah suatu yg tidak ada dalam nash.

malah, mengqiyaskan amalan kirim pahala kpd amalan doa tadi... adalah suatu amalan yg silap. tiada ibadah yg boleh diqiyaskan.

bab pacak tamar ni, kenapa perlu nak diqiyaskan dgn perbuatan zikir si pokok tu?

kalau nabi buat guna pelepah tamar. kenapa kita nak qiyas pelepah tamar dgn zikir/bacaan qur'an manusia kpd si mati?

then, kenapa nabi and para sahabat sendiri tak buat hal yg demikian.. samaada memacakkan pelepah tamar, mahupun membacakan qur'an kpd si mati?

Fuad Nordin said...

[quote="imamsamudera"]Walaubagaimanapun, penulis mempunyai Kitab Sunan Abi Daud, Dalam Sunan Abu Daud, juzuk 3, halaman 244, hadis nombor 3332 di bawah Kitab Al Buyuk, kalimah tersebut tidak sebagaimana yang disalinkan dalam Majalah Hikmah itu, tetapi seperti berikut;
“Maka di waktu Nabi pulang [dari penguburan jenazah], beliau bertemu dengan seorang pemanggil [penyeru] perempuan.”
Ringkasnya dalam Sunan Abi Daud yang asal tidak terdapat kalimah “da’i imra’atihi” [seorang penyeru perempuan yakni isteri si mati itu] tetapi terdapat “ da’i imra’atiin [ seorang penyeru perempuan].
Dalam Kitab Subulus Salam [3.93] kalimah tersebut berbunyi: “da’i imra’atiin” [sesungguhnya seorang wanita memanggilnya[Nabi s.a.w.] kepada satu perjamuan].
Dalam Kitab Nailul Autar [6:69] kalimah tersebut berbunyi: ”da’i imra’ atiin” [seorang penyeru wanita]. Kalimah yang serupa itu juga terdapat dalam kitab Muktasar [terjemahan Indonesia] Nailul Autar [4:1931]. Dalam Kitab Al Muntaqa [ 2: 406], kalimah tersebut juga berbunyi : “da’i imra’atiin” [seorang penyeru perempuan].
Ringkasnya dalam kitab-kitab Subulus Salam [3:93], Nailul Autar [6:69, Muktasar [terjemahan Indonesia], Nailul Autar [4:1931], Al-Muntaqa [2:406],kalimah yang menjadi pokok permasaalahan itu hanya menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah seorang perempuan atas undangan perempuan itu sekembalinya Nabi s.a.w. dari menguburkan jenazah.
Sehubungan dengan ini Prof.T.M.Hasbi Ash-Shiddieqy menegaskan bahawa hadis ini terkenal dengan hadis perampasan kambing [Koleksi Hadis-hadis Hukum 6:259].[/quote]

p/s:post dari imamsamudera di al-ahkam.net...
bukan satu hadis itu dipertkai..tapi yg part "da’i imra’atihi" yang dipertikai...

Syaikh Al-Bakistani said...

ada beberapa perkara yang perlu difahami;

1.pertikaian tersebut jangan dilibatkan kepada imam abu daud, kalau tidak dapat di buktikan sumber rujukan ABu Daud Sendiri...

walaubagaimanapun, apabila kalimah "imra atin" bersifat nakirah, ianya mengandungi makna yang umum. maka dengan demikian, ianya tertakluk kepada tafsiran...

maka dengan demikian, tak ada sebab kita mentarjihkan pandangan ulama yang bersesuaian dengan kehendak kita disamping kita perlekeh pandangan yang tidak sehaluan dengan kita, seperti pandangan Al-Qari yang menafsirkan makna "imra atin" itu adalah isteri kepada si mati....

itulah yang disebut khilafiyyah dalam penafsiran hadis....

2. ana mempertikaikan dakwaan Maulana Asri yusuf dengan dakwaannya, hadis ini tidak mahfuz di bahas oleh Imam Abu Daud. persoalannya, dimanakah rujukannya??? kalau ulama lain yang mendakwa demikian, pada ana itu perkara biasa, tetapi jika dinyatakan demikian tanpa di datangkan bukti, ini merupakan penipuan fakta dalam menyampaikan ilmu.....

sekian

Ibnu Ali said...

Yang nak buat kenduri silakan. Yang tak mau silakan..

sidi said...

asslamualaikum.
kebanyakan nukilan drpd kitab2 mazhab shafie tersebut mmpunyai kesilapan faham. al maklum kalau org tak mengaji kitab tersebut, pakai agak jelah maksudnya.atau pun penah mengaji tapi tak nak pakai, sekadar nak tau je, hasilnya banyaklah nukilan yg bercanggah dgn nas asal yg berbahasa arab. jgn terpedaya dgn org yg guna kitab2 mazhab untuk balun fatwa2 mazhab. ini asas yg perlu tau. wallahu a'lm.

sidi said...

nukilan oleh sdr nawawi bin subandi

Syaikh Al-Bakistani said...

jangan salahkan dia, dia tak tahu apa, dia hanya copi paste dari tulisan tok guru dia je, iaitu Ustaz Rasul Dahri yang merupakan seorang salafi yang pernah menafikan kesalafian Asri Perlis and Al-Ahkam group.

pejuang kebenaran said...

Persolan khilafiyyah terus di warkan2 seolah-olah bodohnya imam 4 mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi.Saya katakan kepada Anda.Anda boleh teruskan pembohongan dan ingatlah Anda bertanggungjawab di akhirat kelak.Sekali lagi entah ke berapa kali saya mencabar buatkan satu buku mana-mana 4 mazhab yang mengatakan 'Bolehnya tahlilan sebagaimana dilakukan oleh rakyat malaysia.Satu buku yang mempunyai rujukan yang baik bukan sekadar sehelaian kertas dan merasa bangga mewar2kan bahawa ini masalah khilafiyyah, kerana di malaysia kita berpegang kepada mazhab baru iaitu mazhab malaysia boleh.

al-fakir said...

sidi said...
asslamualaikum.
kebanyakan nukilan drpd kitab2 mazhab shafie tersebut mmpunyai kesilapan faham.

Assalamu'alaikum Warahmatullah..
minta syeikh Sidi berikan judul kitab dan terbitan mana, bukan apa hanya sebagai memelihara ketulina ilmu..

JKK..

nur_ariff said...

Adakah wujud penyataan Secara Jelas daripada Nabi s.a.w menyuruh kita melakukan kenduri kerana kematian seseorang?
Selain Doa adakah ada pernyataan yang jelas Bahawa Nabi s.a.w memerintahkan kita membaca Surah -Surah tertentu atau amal baik yang boleh membantu mereka yang telah mati?

Khalif Rizal said...

salam buat abang-abang semua. Pertamanya saya cukup sedih bila melihat majoriti golongan yang alim ugama dan cekap berdalil terperangkap dalam gelodak nafsu hingga langsung melupakan ukhuwah sesama islam. Apa nak jadi ni, kalu dah golongan ugama dan begaduh macam ni, macam ner lak dengan remaja yang tak faham agama. Dimana unsur dakwah anda semua. bercakaran sesama islam sedang kufar merogol gadis islam kita di seluruh dunia yang dijajah. sahabat kita baru saja dibunuh di masjid di tailand, ramai saudara islam kita sedang berperang dengan kufar. sedang anda semua... bertekak pasal dalil yang dah ratusan taun dibincangkan ulama. Tolonglah. Al-bakistani dalam artikelnya cukup halus dalam mengkritik maulana asri. Kenapa kamu semua yang lain tak terbuka fikiran. Kalau betul anda semua kenal maulana asri pasti juga kenal bagaimana beliau mengajar. setiap perkara yang khilaf beliau akan katakan lebih kurang begini. ANA HARI NI DAH BERSEDIA KERANA BAWA PERKARA BARU. DAN ANA SEDIA DIKRITIK. NAK KRITIK KE TAK NAK GUNA ITU BIASA. TAPI DENGANR DULU ANA NAK BAGITAU. LEPAS TU TERPULANG LAH NAK GUNA ATAU TIDAK. Anda semua berbalah pasal dia, sedangkan beliau, sangat terbuka!!! ni link kawan ana. Kalau sapa tak puas hati send kat email ana je. motivasiagama@yahoo.com
atau post kat blog ana. http://motivasiagama.wordpress.com

Maafkan ana semua. Dan carilah titik persamaan. Bukan titip permusuhan. wasalam

Mat Don said...

assalam saudara seislam semua,saya suke comment mujahid.....seperti hadis nabi kata....jangan bermusuhan,dalam hadis riwayat muslim.....ada lagi hadis nabi dalam karangan imam ahmad iaitu bila sahabat nabi berdebat nabi marah sebab nanti selepas kewafatan dia akan berlaku lagi banyak perdebatan antara umat islam sendiri sampai berbunuhan.....saksikanlah, sebab kite banyak membangkang sesama sendiri,kuffar telah menguasai dunia....sebab banyak berdebat,dakwah ke atas orang yang jahil kurang....nanti kita juga yang dipersoalkan di padang masyar...sebab banyak berdebat,orang yang jahil anggap islam ni susah,leceh,cerewet...akhirnya...impak negatif jugak yang ita dapat...umat islam diseluruh dunia dikeji,dibunuh,dinjak-injak,dihina...kita disini berdebat dengan benda yang remeh-temeh walhal kite ada tugas yang lebih besar iaitu mujahadah atas nafsu kite,membantu saudara seislam kite...itu lagi utama...wallahualam...saya ni tak banyak ilmu...tapi belajar2 le..berlapang dada dengan pandangan orang lain...barula orang kata islam tu dinamik...

Unknown said...

Bagaimana pula dgn para sahabat? Adakah mereka buat? Sedangkan merekalah yg paling memahami dalil, 'ketua' kpd ulama selepasnya...