Friday, July 14, 2006

KENA BUANG SEKOLAH KERANA BERSERBAN : SUNNAHKAH BERSERBAN??

KENA BUANG SEKOLAH KERANA BERSERBAN : SUNNAHKAH BERSERBAN ???

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13 Julai 2006, bersamaan 17 Jamadilakhir 1427, dimuka depannya, terpampang gambar tiga orang pelajar yang dibuang sekolah pada sembilan tahun lepas kerana keengganan mereka membuka serban ketika bersekolah.

Didalam ulasan berita tersebut, Hakim Abdul Hamid Muhammed menjelaskan bahawa pemakaian serban adalah sesuatu perkara yang berkaitan dengan adat dan kebiasaan pakaian orang arab. Ekoran nabi adalah orang arab, maka sebab itulah Baginda SAW berserban.

Beliau juga menjelaskan tentang nabi berkenderaan unta, membina rumah dan masjid dengan tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.

Kata beliau, “adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang?”

KEJAHILAN BERCAKAP ISLAM

Di akhir-akhir ini, sudah ramai dari kalangan rakyat Malaysia berani bercakap berkenaan Islam. Mereka memperkatakan Islam berdasarkan kepada kefahaman mereka terhadap Islam, yang kadangkala boleh membahayakan kepada Islam itu sendiri.

Hakikatnya, Rasulullah SAW ada bersabda ;

اذا وسد الأمر الى غير أهله , فانتظر الساعة

Maksudnya;
“apabila disandarkan urusan kepada orang yang tidak berkeahlian, maka tunggulah kiamat”

Melihat perkembangan terkini, banyak tanda-tanda berlaku kiamat itu terzahir, cumanya, adakah manusia sedar atau tidak, itu yang menimbulkan persoalan di pemikiran dan benak kita.

Antara tanda kiamat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah, apabila manusia sudah mula berani memperkatakan sesuatu urusan, sedangkan ianya bukan dari jurusan tersebut.

Sekiranya, jurusan yang diperkatakan adalah jurusan yang tidak berkaitan dengan Islam, maka itu tidak menjejaskan apa-apa kesan. Tetapi bahayanya, apabila jurusan yang ingin diperkatakan adalah jurusan yang berkaitan dengan Islam.

Bercakap Islam dari orang yang tidak berkeahlian dalam bidang islam sudah berkali-kali berlaku didalam masyarakat Malaysia kini.

Kalau dulu, dalam isu hiburan, ramai dari orang yang tidak berkeahlian dalam bidang agama memperkatakan tentang hukum berhibur, yang kadangkala perkataan mereka itu disandarkan kepada perasaan hawa nafsu sahaja.

Begitujuga, sudah ada dari kalangan manusia yang mendakwa sebagai “professional” sudah berani mempertikaikan tentang hukuman murtad, dengan mendakwa bahawa murtad adalah salah satu jenayah yang berada di bawah ta’zir.

Apa yang memelikkan kepada kita, hukuman Murtad adalah satu jenayah dibawah hukuman hudud adalah sesuatu yang telah diijmakkan oleh ulama dan perkara yang diketahui dalam agama secara mesti (ما علم من الدين بالضرورة)[1]. Tetapi disebabkan kejahilan yang menguasai diri, disamping tidak menyedari akan dirinya sebagai seorang yang jahil (Jahil Murakkab), mereka tetap juga mahu memperkatakan perkara tersebut, tanpa merujuk kepada orang-orang yang berkeahlian dalam bidang agama.

Perkara yang sama juga berulang kembali dengan kehadiran seorang Hakim yang mula mempertikaikan pemakaian serban, dengan mendakwa ianya adalah pemakaian yang tidak disandarkan dengan apa-apa pahala pun.

SERBAN DAN HUKUMNYA

Serban adalah kalimah farsi yang menggabungkan antara kalimah “sar” dan “ban” yang memberi makna “belit kepala”

Didalam bahasa Arab, Serban disebut dengan “العمامة” al-‘Imamah. Di dalam buku “mengapa tidak berserban?” karangan Muhammad Nur Lubis, serban di definisikan,

“kain yang dililitkan di atas jenis kopiah, samada dari jenis kain khas atau lain yang diletakan di atas kepala”[2]

Adapun didalam Kamus al-Mu’jam al-‘Arabi Al-Asasi, Al-‘Imamah didefinisikan sebagai;

ما يلف على الرأس

Maksudnya;
“sesuatu yang dibelitkan atas kepala” (m/s 869)

Mengikut Ahli Sejarah, pemakaian serban adalah merupakan pemakaian kebiasaan arab semenjak zaman jahiliyyah lagi, sehinggakan arab menganggap bahawa serban adalah mahkota orang-orang arab sebagaimana disebut oleh Saidina Ali RA ;

العمائم تيجان العرب

Maksudnya;
“serban adalah mahkota orang-orang arab”

Walaupun serban merupakan pakaian yang dibanggakan oleh orang-orang arab semenjak zaman jahiliyyah lagi, tetapi pemakaian serban juga merupakan pemakaian yang disukai oleh Nabi SAW.

HADIS-HADIS TENTANG BERSERBAN

Jika dibaca hadis-hadis berkenaan dengan serban, kita akan dapati bahawa banyak hadis-hadis yang menceritakan tentang pemakaian serban yang memakaikannya oleh Nabi SAW sendiri.

Walaupunbegitu, tidak dinafikan, ada hadis-hadis yang menceritakan tentang fadhilat atau kelebihan berserban itu, samada lemah atau mauduk (palsu).

Setelah dilihat kepada hadis-hadis fadhilat atau kelebihan itu, tidak semua hadis-hadis tersebut jatuh kepada lemah dan Mauduk, bahkan disana ada beberapa hadis saheh berkenaan dengan fadhilat berserban ini.

Diantaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-tabrani, Hakim dan Ibnu Abbas di dalam kitab “Al-Jami’ As-Sagir” jilid 1, M/s 74.

Hadis tersebut adalah sabda Rasulullah SAW;

عن ابى المليح بن أسامة عن أبيه قال : قال رسول الله – ص - : اعتموا تزدادوا حلما

Maksudnya;
“Daripada Abi al-Malih bin Osamah, daripada ayahnya berkata : bersabda Rasulullah SAW : berserbanlah kamu, nescaya bertambah sifat sabar kamu”

Dari hadis ini, Baginda SAW menggunakan “sigah amar” atau suruhan kepada berserban. Didalam pengajian Ilmu Usulfiqh, suruhan menandakan wajib, selagi mana tidak ada qarinah yang memalingkannya kepada sunat.

Oleh yang demikian, difahami dari hadis ini, pemakaian serban bukanlah satu perkara yang wajib, bahkan ianya adalah sesuatu yang disunatkan berdasarkan suruhan yang terkandung hadis tersebut diatas.

Juga didalam satu riwayat hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dari Ibnu Omar bahawa Rasulullah SAW bersabda;

صلاة التطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسا و عشرين صلاة بلا عمامة و جمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة

Maksudnya;
“solat sunat atau fardu dengan berserban adalah menyamai (pahalanya) dua puluh lima solat dengan tidak berserban. Dan solat Jumaat dengan berserban menyamai (pahala) dengan tujuh puluh Jumaat tanpa berserban”.

Hadis ini telah diperdebatkan oleh ulama. Ada yang mengatakan ianya adalah hadis yang da’ef atau lemah dan ada mengatakan ianya adalah hadis yang saheh.

Walaubagaimanapun, didalam kitab “Mukhtasar Syarah Al-Jami’ Al-Saghir” susunan Imam As-Sayuti yang disyarahkan oleh Imam Al-Manawi, telah mensahehkan hadis ini.[3]

Dari ulasan ini, tidak boleh kita menyatakan bahawa, pemakaian serban adalah salah satu dari kebiasaan pakaian arab, tanpa merujuk kepada pahala dikala memakainya.

PEMAHAMAN PEMBAHAGIAN SUNNAH MENGIKUT PENGAJIAN ILMU USULFIQH ISLAM

Begitujuga, berdasarkan perbahasan Sunnah Rasulullah SAW. Ulama-ulama membahagikan sunnah itu kepada beberapa bentuk, iaitu seperti berikut;

a. Sunnah qauliyyah (sunnah yang berbentuk perkataan Nabi)
b. Sunnah Fi’liyyah (sunnah yang berbentuk perbuatan nabi)
c. Sunnah Taqririyyah (sunnah yang berbentuk pengakuan nabi)

Didalam perbahasan “sunnah fi’liyyah” ulama-ulama telah membahagikannya kepada beberapa pembahagian, ianya adalah seperti berikut;

a. Al-Af’al al-Jibilliyyah : iaitu perbuatan nabi yang berbentuk kebiasaan dilakukan juga oleh orang ramai, seperti duduk, berdiri, berjalan, makan, minum dan sebagainya.
b. Al-Af’al al-Khasais bi an-nabi” : iaitu perbuatan yang terkhusus kepada Nabi SAW sahaja, atau dikenali sebagai “khususiyyah Nabi”. Seperti kewajipan solat dhuha, Witir dan tahajjud malam atas diri Rasulullah SAW, kahwin lebih dari empat orang dan lain-lain.
c. Perbuatan-perbuatan yang digalakan manusia mengikutnya dan diberi pahala kepada pengamalnya.[4]

Sekiranya ada orang mendakwa bahawa memakai serban adalah sesuatu pakaian adat dan kebiasaan orang arab, yang disamping nabi orang arab, lantas nabi memakai serban, maka itu tidak memberi apa-apa pahala, maka pemahaman itu adalah sesuatu yang salah.

Ini kerana, jika merujuk kepada pemahaman sunnah-sunnah diatas, dengan ini ingin kami nyatakan bahawa pemakaian serban di bawah ketagori sunnah al-af’al al-jibilyyah, yang mana, walaupun ianya adalah pemakaian orang arab, tetapi pemakaian tersebut merupakan pemakaian yang disukai oleh nabi. Lantas dengan itu, sekiranya kita memakainya disertai niat berbangga dengan pakaian nabi, maka itu juga diberikan pahala.

Ini boleh dilihat dari perbuatan Abdullah bin Omar dan kenyataan beliau yang menggalakan mengikut segala perbuatan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pada segala sudut perbuatan, dan mengatakan pahala dengan mengikut akan perbuatan tersebut.[5]

Antara bukti perbuatan Abdullah bin Omar itu adalah seperti berikut;

a. Daripada Mujahid berkata : “pernah kami bersama Ibnu Omar RA dalam satu permusafiran, beliau melintasi satu kawasan lalu beliau menyimpang – iaitu melencong ke kanan atau ke kiri dari tempat tersebut- beliau ditanya : “kenapa engkau berbuat demikian?” beliau menjawab : “aku telah melihat Baginda Rasulullah SAW melakukan ini, maka aku pun melakukannya” (hadis riwayat Ahmad dan Bazzar dengan sanad yang baik)
b. Daripada Ibnu Omar RA bahawa Sesungguhnya beliau pernah mendatangi sebatang pohon yang berada di antara Mekkah dan madinah untuk beristirehat dibawah pohon tersebut. Lalu beliau memberitahu, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah melakukan yang demikian (berististirihat) di situ”. (hadis riwayat Bazzar dengan sanad hadis yang tidak mengapa (tidak ada cacat)).
c. Daripada Ibnu Sirin beliau berkata ; “aku pernah bersama Ibnu Omar RA di tanah Arafah, maka tatkala sampai waktu beliau pergi aku pun turut pergi bersamanya sehingga datang imam lalu Ibnu Omar mengikuti bersama Imam menunaikan solat zohor dan asar, kemudian beliau wukuf, aku dan beberapa orang temanku turut berwukuf sehinggalah imam bertolak meninggalkan arafah, maka kami bertolak bersama Ibnu Omar sehinggalah sampai ke kawasan antara dua bukit sebelum tempat di antara masy’ar dan arafah. Lalu beliau berhenti dan kami pun turut berhenti dan kami menduga bahawa beliau ingin solat lalu berkatalah hambanya yang memegang kenderaan beliau bahawa Ibnu Omar bukan mahu solat di situ, tetapi beliau teringat bahawa sesungguhnya Baginda SAW tatkala sampai dikawasan ini, Baginda SAW menunaikan hajatnya (qada’ hajat), maka beliaupun (Ibnu Omar) ingin menunaikan hajatnya (qada’ hajat) juga.” (hadis riwayat Ahmad dan para rawinya daripada para perawi yang meriwayatkan hadis-hadis yang saheh)”.

Hal ini juga dapat dilihat dari perbuatan seorang sahabat yang masyhur iaitu Saidina Ali yang kisahnya adalah seperti berikut;

“Saidina Ali ketika menaiki kenderaan ketika bermusafir, beliau membaca “bismillah”. apabila telah tetap beliau atas kenderaannya, beliau membaca “al-hamdulillah”, kemudian membaca doa menaiki kenderaaan. Setelah dari itu beliau bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa “سبحانك انى ظلمت نفسى فاغفرلى , انه لا يغفر الذنوب الا أنت”. Kemudian dari itu, beliau senyum. Lalu Ali bin Rabi’ah bertanya : Wahai Amir Al-Mukminin, mengapa kamu tersenyum. Berkata Ali bin Abi Talib : “aku tersenyum kerana aku melihat beginilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan ketika itu aku bertanya kepada Nabi, tentang senyum nabi, Rasulullah SAW menjawab : Sesungguhnya tuhan kamu berbangga dari hambanya, apabila berkata “ya Allah, Ampunilah dosaku”, yang mana, hamba itu mengetahui bahawa tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Allah sahaja”[6]

Dari hadis ini menunjukan kepada kita bahawa Saidina Ali adalah seorang sahabat yang sangat-sangat mengikut perbuatan Rasulullah SAW, sehinggakan senyuman Rasulullah SAW tersebut adalah kerana Rasulullah SAW dikhabarkan tentang kebanggaan Allah ketika itu, tetapi ditiru oleh Ali, walaupun beliau tidak dikhabarkan sesuatu pun.

Ini menandakan, walaupun perbuatan Rasulullah Saw itu tidak disuruh turuti, tetapi perbuatan tersebut ditiru oleh Ali sebagai tanda berbangga dengan perbuatan Rasulullah SAW itu.

Maka demikian jugalah memakai serban, kerana berbangga dengan pemakaian Rasulullah SAW merupakan sesuatu ibadat yang dijanjikan pahala.

KESIMPULAN

Melihat kepada ulasan ini, tidak seharusnya, Hakim Abdul Hamid muhammed menyatakan bahawa pemakaian serban adalah sesuatu pemakaian kebudayaan arab, tanpa disandarkan kepada apa-apa pahala.

Kalau itulah kenyataan beliau, difahami bahawa beliau adalah salah seorang manusia yang beragama Islam, telah terpengaruh dengan agenda oreantalis yang mahu merosakan Islam sedikit demi sedikit.

Tidak timbul kerelevenan pemakaian serban di sekolah, ini kerana, serban adalah salah satu pemakaian bagi orang-orang yang saleh dan bertaqwa.

Orang yang berserban – paling koman pun- akan malu melakukan perkara haram dan malu menzahirkan dirinya ke lurah maksiat.

Apa yang memelikkan, pelajar-pelajar perempuan yang memakai skirt singkat, tidak pernah di gantung sekolah pun, tetapi apabila ada orang yang memakai serban ke sekolah, bukan sekadar gantung, bahkan dibuang dari sekolah.

Pihak sekolah tidak menganggap salah kepada orang-orang benggali memakai serban, tetapi menganggap salah kepada orang-orang islam berserban.

Siapakah yang dijaga oleh islam Hadhari ini? Siapakah yang Islam Hadhari lebih hormati, antara Islam atau kuffar?


Wallahu ‘alam

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com.

[1] Sila rujuk Kitab “jarimah arriddah” karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
[2] Mengapa tidak berserban : m/s ii. (dalam kata pengantar)
[3] Lihat “Mukhtasar Syarah Al-Jami’ as-Saghir : (2/78)
[4] Lihat “usul al-fiqh al-islami” (1/478)
[5] Usul al-fiqh al-islami ; (1/478)
[6] Lihat “Sunan Abi Daud” (1/599) hadis ke 2602

1 comment:

Am said...

Sapa mempertikai sunnah Rasulullah adalah bengong.. bodoh nak mampos, suruh belajar agama tak mau belajar.. jangan kata mana2 sunnah Rasulullah tu kecil! Setiap satunya memberi suatu kebaikan yg besar!

Antaranya kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq tertinggal satu sunnah, lalu bertanya kepada isteri Rasulullah iaitu Siti Aisyah, apakah sunnah yg belum beliau (Saidina Abu Bakar) belum lakukan (setelah baginda wafat)?

Lalu Siti Aisyah beritau bahawa Rasulullah selalu bagi makan kepada seorang tua yahudi yg buta. Bila Saidina Abu Bakar beri makan kpd org tua yahudi yg buta itu, lalu dia kata anda bukan org yg selalu suap aku makan kerana yg selalu suap biasanya menghancurkan makanan tu dahulu sebelum menyuapkannya.

Lalu Saidina Abu Bakar pun menangis lalu berkata memang benar.. dan berkata bahawa yg selalu menyuapkan org tua buta itu ialah Baginda Rasulullah s.a.w. Lalu org tua tu pun terus menangis juga dan terus mengucap dua kalimah syahadah.. Org tua tu selalu berkata pada Rasul bahawa la ni ada org bawak agama baru, namanya Muhammad, jangan ikut dia.. walaupun begitu Rasul tetap membisu dan tetap memberinya makan..

Allahu Akhbar.. besarnya sunnah! Boleh memberi hidayat kepada org tua yahudi tersebut! So jangan perlekeh sunnah Rasulullah tau!